20131208

Setelah Sekian Lama

Terkadang diri ini terasa lemah. Senang air mata menjadi cagaran. Adakah itu bersifat lumrah? Bukan tidak mahu menjadi kuat. Bukan tidak ingin menjadi tabah. Tetapi selok-belok hidup ini seakan sukar untuk difahami. Mungkin tidak perlu untuk difahami. Mungkin. Andaikan hidup ini adalah satu jalan yang lurus, tercorak senangkah hidup kita? Menjadi mudahkah segalanya? Tidak ada siapa tahu. Kerana aturan Yang Maha Kuasa penuh rahsia.

Tatkala keluh-kesah meniti bibir, saat kepala sarat berfikir, terdetik persoalan tersembunyi.
"Adakah hanya aku seorang yang merasa segalanya?"

Tidak bukan? Tetapi mengapa diri ini seolah-olah terlalu tinggi egonya sehinggakan tidak menyedari bahawa bumi ini bukan diri sendiri sahaja yang mendiami? Mengapa perlu sedemikian wahai hati? Perkara yang menjadi beban itu bukan kau seorang yang hadapi, bukan kau seorang yang rasai.

Jangan berdegil dengan resah. Jangan mengalah dengan rungutan. Kerana yang menang itu bangkit, bangkit dari keegoan. Setelah sekian lama...

No comments: